BERITA

MENJADIKAN BATIK LEBIH 'HIJAU'




KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Industri batik amat sinonim dengan Malaysia. Bagaimanapun industri ini bertanggungjawab melepaskan emisi karbon yang tertinggi setiap tahun dari kalangan Industri Kecil dan Sederhana (SMI) di negara ini.

Ini disebabkan industri ini amat bergantung kepada penggunaan bahan api dan elektrik. Banyak syarikat batik juga menggunakan bahan lilin dan air yang banyak serta juga pencelup kimia dan agen peluntur yang boleh memudaratkan manusia dan alam sekitar jika tidak digunakan dengan betul.

Sedar akan situasi ini, Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia-Jerman (MGCC) mengambil langkah membantu industri batik Malaysia supaya menjadi lebih hijau.

Hijau di sini bermaksud mengurangkan dan mengehadkan emisi karbon dalam pengeluaran batik.

MGCC yang sedar akan hakikat bahawa industri ini banyak bergantung kepada penggunaan bahan api dan elektrik, baru-baru ini melancarkan Inisiatif Batik Bersih (CBI) Malaysia.



PULAU PINANG STRUKTUR SEMULA AIR

Perjanjian dengan Pusat babit pindah milik pajakan RM655.2j kepada PAAB

PUTRAJAYA: Kerajaan Pulau Pinang semalam memeterai perjanjian penstrukturan semula bekalan air dengan Kerajaan Persekutuan membabitkan pemindahmilikan secara pajakan aset air kerajaan negeri itu bernilai RM655.2 juta kepada Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB).

Perjanjian itu menjadikan Pulau Pinang negeri kelima selepas Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Perlis berbuat demikian dan negeri pertama di bawah pentadbiran pembangkang memeterai perjanjian berkenaan dengan PAAB, iaitu syarikat milik Kementerian Kewangan Diperbadankan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berharap penyertaan Pulau Pinang dalam perjanjian itu akan menjadi pemangkin kepada negeri lain untuk turut serta.

Beliau berkata, PAAB memperuntukkan bajet bagi menjalankan kerja pembangunan atau perbelanjaan modal (capex) lebih RM1 bilion sepanjang 2010 sehingga April 2011 bagi negeri yang terlebih dulu menandatangani perjanjian itu.

Perkembangan positif dalam penstrukturan semula kali ini menunjukkan kesediaan Kerajaan Persekutuan untuk mengambilalih semua aspek perkhidmatan bekalan air negeri seperti keperluan permintaan air, operasi, kewangan dan lain-lain bagi mewujudkan industri air yang berdaya maju, holistik dan cekap,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian berkenaan di sini, semalam.

Najib juga menganggap kejayaan penstrukturan semula bekalan air di Pulau Pinang itu sebagai kejayaan kepada rakyat Pulau Pinang.

Majlis menandatangani perjanjian antara Kementerian Kewangan, Kerajaan Pulau Pinang, PAAB dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) itu disaksikan Najib; Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng; Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Penstrukturan semula itu membabitkan pemindah milikan secara pajakan aset air kerajaan Pulau Pinang bernilai RM655.2 juta kepada PAAB milik Kementerian Kewangan, manakala PAAB pula akan mengambil alih liabiliti air kerajaan Pulau Pinang daripada Kerajaan Persekutuan berkaitan bekalan air pada nilai sama.

PAAB akan menyewa pajak aset air kepada PBAPP pada kadar sewaan tahunan yang dipersetujui kedua-dua pihak. Bagaimanapun, tarif air di negeri berkenaan akan ditentukan sendiri oleh kerajaan Pulau Pinang.

Sememangnya kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan bagi kerajaan. Saya berharap negeri lain di Semenanjung akan segera turut serta dalam pelaksanaan inisiatif penstrukturan semua industri perkhidmatan air oleh Kerajaan Persekutuan supaya dapat meraih faedah yang saya bagi negeri masing-masing.


KAWASAN DIKOREK SEDALAM BANGUNAN EMPAT TINGKAT



SEPANG: Kerakusan anak syarikat kerajaan Selangor, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), melombong pasir di Kampung Olak Lempit, Mukim Tanjung 12berhampiran Paya Indah Wetlands di sini, mengubah landskap kawasan itu hingga membentuk kawah besar.
Penolong Pegawai Daerah, Kuala Langat, Wan Zahari Sulong yang mengadakan tinjauan udara bersama Berita Harian, semalam, mengakui kerja mengorek pasir di kawasan berdekatan Rizab Tanah Lembap Negara itu terlalu dalam.

Katanya selepas meninjau kawasan itu dengan menaiki helikopter polis, didapati kerja melombong pasir yang dilakukan KSSB itu terlalu dalam dan tingginya hampir menyamai bangunan tiga atau empat tingkat.
Ketika tinjauan udara kira-kira 45 minit, bermula jam 4.20 petang itu, lebih 10 jengkaut rancak mengorek kawasan itu, manakala kira-kira 60 lori 12 roda yang mampu mengangkut muatan 30 tan berbaris menunggu giliran untuk membawa pasir keluar.
Tinjauan juga mendapati kerja melombong pasir itu dilakukan terlalu hampir dengan sempadan Paya Indah Wetlands hingga mengancam sistem ekologi taman berkenaan. Ini kerana berdasarkan pelampung penanda sempadan, kawasan perlombongan pasir itu terletak hanya kira-kira 30 meter dari Rizab Tanah Lembap Negara.
Wan Zahari berkata, pihaknya tidak pasti sama ada KSSB mematuhi Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) kerana ia di bawah bidang kuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS), tetapi tidak menolak kemungkinan berlaku pencemaran di tasik itu.
Katanya mereka enggan menuding jari kepada mana-mana pihak. Sukar hendak menilai sama ada syarikat itu mematuhi syarat yang ditetapkan, tetapi permit boleh ditarik balik jika KSSB terbukti melanggar syarat kelulusan.
Beliau berkata, jabatan yang turut bertanggungjawab meluluskan permohonan KSSB melombong pasir ialah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Katanya, syarat kelulusan hanya dibuat sekali, iaitu ketika syarikat terbabit memohon bagi memulakan kerja melombong pasir dan selepas itu Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Langat bertanggungjawab mengeluarkan serta memperbaharui permit setiap tiga bulan.
Sementara itu, Ketua Penyelia Tapak Perlombongan Pasir KSSB, Mahmud Buyamin ketika ditemui berkata, operasi melombong pasir di situ dilakukan seperti biasa mulai jam 5 pagi hingga 8 malam dan dipantau JAS Selangor.
Katanya mereka juga mempunyai laporan EMP dan permit yang dikeluarkan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat untuk melombong pasir di kawasan ini, iaitu 25.5 hektar bagi fasa pertama.
Beliau berkata, pihaknya juga hanya menunggu masa untuk memulakan perlombongan bagi fasa kedua membabitkan kawasan seluas 23 hektar bersebelahan tapak sedia.

No comments:

Post a Comment